MUKADDIMAH

Skim Bantuan Tabung Khairat Masjid Al-Khairiah AU3 diwujudkan sebagai salah satu aktiviti kebajikan dibawah kelolaan Jawatankuasa Biro Kebajikan dan Kematian Masjid Al-Khairiah AU3 selaras dengan Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 Kaedah Pegawai Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah Dalam Negeri Selangor Darul Ehsan 1995.

TUJUAN DAN OBJEKTIF

Tujuan dan objektif Tabung adalah untuk membantu anak-anak kariah serta tanggungannya apabila berlaku kematian dengan melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah dalam hal penyempurnaan jenazah dan perkara-perkara yang bersabit dengannya.

SYARAT-SYARAT MENJADI AHLI

Penyertaan menjadi ahli tabung adalah terbuka kepada anak kariah atau pemastautin yang tinggal di kawasan kariah Masjid Al-Khairiah AU3 samada yang tinggal di rumah sendiri ataupun menyewa.

Peserta adalah seorang lelaki dewasa berumur tidak melebihi umur 50 tahun, berkahwin dan dianggap sebagai Ketua Keluarga.

Sekiranya peserta yang dianggap sebagai Ketua Keluarga meninggal dunia, maka salah seorang waris di rumah peserta bolehlah meneruskan dan menyambung menjadi ahli dengan mengisi permohonan baru tanpa dikenakan yuran pendaftaran.

PERMOHONAN MENJADI AHLI

Permohonan menjadi ahli hendaklah menggunakan Borang Permohonan yang boleh didapati daripada Jawatankuasa Masjid dengan mengisi butir- butir diri dan tanggungannya.

Borang Permohonan yang telah diisi hendaklah diserahkan kepada Setiausaha Masjid dengan disertakan wang yuran pendaftaran sebanyak RM10.00 dan yuran bulanan sebanyak RM5.00 sebulan.

Yuran keahlian sebanyak RM5.00 sebulan bolehlah dibayar secara bulanan atau tahunan sebanyak Rm60.00 setahun kepada Bendahari Masjid dan Bendahari Masjid akan mengeluarkan resit rasmi sebagai tanda penerimaannya.

FAEDAH DAN BANTUAN KEMUDAHAN

Tiap-tiap ahli dan tanggungannya berhak mendapat faedah dan bantuan kematian jika berlaku sebarang kematian dirumahnya. Bantuan kematian yang dikeluarkan adalah seperti berikut:-

  1. Ahli atau peserta - RM1000.00
  2. Isteri (yang pertama sahaja) - RM1000.00
  3. Anak lelaki ahli yang masih menuntut dan belum berkahwin - RM1000.00
  4. Anak perempuan ahli yang belum berkahwin - RM1000.00
  5. Ibu/Bapa Kandung atau Ibu/Bapa Mertua Kandung yang tinggal bersama ahli - Rm1000.00
  6. Anak angkat ahli yang dibela sejak kecil mengikut perkara 5.1.3 dan 5.1.4 - RM1000.00
  7. Anak-anak ahli yang berumur kurang daripada 12 tahun - RM400.00
  8. Ibu/Bapa Kandung atau Ibu/Bapa Mertua Kandung yang tidak tinggal bersama ahli - RM200.00

Faedah dan Bantuan Kematian boleh diberi samada dalam bentuk wang tunai atau dalam bentuk perkhidmatan yang diberikan seperti:-

  1. Saguhati Bilal
  2. Pembelian kain kafan dan alatan lain
  3. Saguhati Penggali Kubur dan tanah perkuburan
  4. Kos pengangkutan sekiranya jenazah dikebumikan dalam kariah masjid

Sekiranya kos perkhidmatan melebihi daripada bantuan kematian yang diberikan mengikut perkara 5.1, maka lebihannya hendaklah ditanggung oleh waris ahli.

Sekiranya kos perkhidmatan kurang daripada bantuan kematian yang diberikan mengikut Perkara 5.1, maka lebihnya hendaklah diserahkan kepada waris ahli.

Sekiranya jenazah dikebumikan di luar kawasan kariah Masjid maka kos pengangkutan akan ditanggung oleh waris ahli sendiri.

GUGUR MENJADI AHLI

Seseorang ahli dianggap gugur keahliannya sekiranya seorang ahli tersebut gagal menjelaskan yuran bulanan selama tiga bulan berturut- turut setelah diberi surat peringatan.

Apabila berpindah di luar kawasan kariah Masjid Al-Khairiah AU3 seseorang ahli juga dianggap gugur keahliannya.

Apabila seseorang ahli gugur menjadi ahli segala bentuk wang yang telah dijelaskan sebelum itu tidak akan dikembalikan.

BERHENTI MENJADI AHLI

Seseorang ahli boleh memohon berhenti menjadi ahli dengan menulis surat tentang hasratnya dan dimajukan kepada Setiausaha Masjid.

Apabila seseorang ahli itu berhenti menjadi ahli segala bentuk wang yang telah dijelaskan sebelum ini tidak akan dikembalikan.

PENUTUP

Garis panduan ini dibuat bagi melicin dan mengemaskinikan serta memperbaiki ruang- ruang yang sedia ada berdasarkan kepada situasi dan keadaan yang berubah-ubah dan masa ke semasa. Namun demikian jika ada sebarang pertikaian dalam mentafsir garis panduan ini, keputusan Jawatankuasa adalah muktamad. Dengan terbitnya garis panduan yang baru ini, maka garis panduan yang dikeluarkan pada 28 November 1998 adalah dibatalkan dan tidak digunapakaikan lagi.

Tarikh : 12 Januari 2014



Nama Bank : RHB Islamic Bank Berhad

Nombor Akaun : 26406700000262

Nama Pemegang Akaun : Tabung Khairat Masjid Al-Khairiah

Pertanyaan

Badan Khairat Kematian Masjid Al-Khairiah AU3
Masjid Al-Khairiah, Jalan AU3/7A,
Medan Sri Keramat, 54200 Kuala Lumpur.
No. Telefon : 0341053515
Whatsapp:0133321062 (Hj. Lazi)

Pertanyaan

Your message has been sent. Thank you!

Lokasi Masjid